Thursday, 11 July 2013

PENGEMBARAAN BERMULA

Syukur ke hadrat Allah dengan limpah dan kurnianya saya dapat menulis post blog saya yang pertama. Dari dulu nak menulis, tapi fikir banyak sangat tuh sebab tak menulis sehingga hari ini. Mungkin rasa bukan ‘hot story’ kot nak tulis untuk orang baca.

Alhamdulillah juga sebab baru-baru ini hampir 14 hari (22 Jun – 6 Julai 2013) dapat mengembara di beberapa buah negara di Eropah. Bermula transit di Istanbul Turkey, Republic Czech, Italy, Austria & Poland. Saya akan berkongsi pengalaman di negara-negara tersebut di posting akan dating. Untuk permulaan ini saya nak berkongsi tentang pengembaraan.

Dari kecil sebagai anak yang dilahirkan di Felda Trolak Selatan, hidup sebagai budak lelaki yang suka kan cabaran fizikal. Dari main-main polis sentry, tuju tin, mandi sungai, kayuh beskal redah bukit redah kebun getah dan kelapa sawit, pergi memancing. Dari situ timbul minat ‘berjalan’ dan merasai pengalaman yang best.Dekat sekolah pun saya seorang yang aktif jugak la. Semua benda saya aktif dari masuk team bola, badminton, pidato, nasyid, debat, tahfiz, tilawah quran, pengakap, pengawas dan macam-macam persatuan. Hahahha, macam gila kuasa lak. Tapi dari situ saya mula belajar macam-macam tentang kehidupan sehingga yang saya rasa benda yang paling saya susah nak dapat bila ditauliah sebagai PALAPES UM yang hebat batch 25. YDP Agong yang tauliah tuh, pastuh bila kenang balik kenapa lah boleh bertahan 3 tahun dalam kadet askar ek?? Tak pa itu semua pengalaman la kan.



Just nak berkongsi, Islam sebenarnya amat menggalakkan umatnya mengembara.Allah telah berfirman: "Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada". (Surah Al-Hajj, ayat 46)

Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” (Surah al-Anam, ayat 11)

Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa.” (Surah an-Naml, ayat 69)

Firman Allah yang bermaksud: "Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?" (Surah Al-Mulk, ayat 3)

Sejak zaman Nabi Muhammad dan mungkin juga zaman terdahulu darinya, bermusafir, mengembara atau merantau menjadi satu amalan yang baik kepada setiap orang terutama umat Islam yang sememangnya digalakkan untuk sentiasa mencari kebenaran dan ilmu pengetahuan terutama ilmu yang berkaitan tafsiran al-Quran dan sebagainya.

Seorang tokoh dan cendiakawan Islam, Abu Abdullah Muhammad Ibn Battuta atau lebih dikenali sebagai Ibn Battuta, diiktiraf sebagai pengembara paling hebat dalam sejarah manusia. Beliau mengembara sejauh lebih kurang 117,000 kilometer selama hampir 30 tahun. Penjelajahannya meliputi daerah yang sekarang merupakan Afrika Barat hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China, jarak yang jauh lebih hebat dari Marco Polo yang hidup hampir seera dengan beliau.

Ibn Battutta yang berasal dari Maghribi memulakan langkah pertama dalam pengembaraannya ketika hendak menunaikan Haji di Mekah semasa berusia 24 tahun. Perjalanannya mengambil masa selama 16 bulan dan sejak daripada itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan perjalanan menakluk dunia selepas mendapat gelaran haji.

Lihat sahaja tokoh ulama yang terkenal seperti Hujjatul Islam Al-Ghazali yang merantau dan mengembara ke pelusuk negara Arab seperti Jerussalem, Damascus dan Hijaz untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang seperti falsafah, kalam, fuqaha dan batiniah serta mengkaji kekuatan dan kelemahan masing-masing. 

Begitu juga dengan ulama-ulama lain yang terkenal sehinggi kini kerana kekayaan ilmu pengetahuannya hasil dari pengembaraan yang tiada hujungnya seperti Imam Tarmizi, Abu Raihan al-Biruni, Ibnu Hanbal, Imam Syafie dan ramai lagi. Malahan, Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengembara dan merantau ke setiap pelusuk negeri untuk menyebarkan Islam kepada umatnya.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China, kerana sesungguhnya menuntut ilmu sangatlah wajib atas setiap orang muslim" (Riwayat Saidina Anas).

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang dizalimi dan orang yang musafir” (Riwayat Ahmad, Bukhari, Abu Daud dan Tarmidzi). Lihat, betapa tingginya taraf orang yang bermusafir atau mengembara sehingga doanya antara yang paling mustajab.

Jika hendak bermusafir, baginda Rasulullah SAW selalu memulakan perjalanan pada hari Khamis dan di waktu malam. Melalui hadis diriwayat oleh Bukhari: “Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis". Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud pula, Rasulullah SAW bersabda: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”

Dari maklumat di atas jelas Islam menggalakkan umatnya mengembara atau melancong kerana dengan cara itu, kita boleh mengukuhkan iman dan takwa melalui siri pengalaman dan pengajaran yang kita temui di sepanjang perjalanan. Mata hati dan minda perlu dibuka untuk menilai, memahami dan mengambil pengajaran agar pengembaraan yang kita lalui menjadikan kita lebih dekat dengan Allah.

Melancong atau mengembara juga memberi kesempatan untuk kita melihat sendiri kehidupan masyarakat di tempat orang, lebih-lebih lagi di tempat yang kurang bernasib baik berbanding negara kita. Melihatkan kemunduran dan kemusnahan di tempat mereka membuatkan kita lebih bersyukur dengan apa yang kita telah nikmati di negara sendiri. Setiap yang terjadi, pasti ada hikmahnya.

Mengambil contoh diri sendiri, berasal dari Perak berhijrah ke Selangor/KL menuntut ilmu dan bekerja. Ia meningkatkan nilai diri dan kematangan, bagaimana menyesuaikan diri dengan keadaan yang baru. Mengembara ke tempat yang lain, lihat tempat orang, membina satu minda yang lebih luas betapa indahnya ciptaan Allah. Subhanallah, sungguh indah ciptaanNya.

Jadi teman-teman sekalian, ayuh kita mengembara. Islam sendiri menggalakkan umatnya keluar mengembara untuk melihat dunia. Jadi apa lagi alasan yang harus diberi? Kalau duit yang menjadi kekangan, kita mula dahulu dengan tempat-tempat berdekatan dengan kita. Ada rezeki lebih nanti, pergi ke tempat jauh pula. Ingat, perjalanan beribu batu bermula dengan langkah pertama!





No comments:

Post a Comment